MAKLUMAN KEMASUKAN KE MRSM TINGKATAN 1 & 4 TAHUN 2010

Berikut dipaparkan Makluman Permohonan Kemasukan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bagi kemasukan ke Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat Tahun 2010. Walau bagaimanapun, pemohon yang belajar di SMK Agama & Sekolah Berasrama Penuh adalah TIDAK LAYAK dan TIDAK AKAN DITEMPATKAN di mana-mana MRSM. Oleh itu, paparan ini adalah untuk makluman pelayar laman blog ini yang lain. Perhatian kepada calon-calon UPSR & PMR tahun 2009, sila beri perhatian kepada maklumat semasa berkaitan hal ini. Untuk paparan lebih jelas, sila klik pada gambar borang-borang tersebut.

Makluman Permohonan Kemasukan Ke Tingkatan Satu :


Makluman Permohonan Kemasukan Ke Tingkatan Empat :

IKLAN KEKOSONGAN JAWATAN KONSTABEL LELAKI PDRM

Bagi mengetahui tentang maklumat lanjut berkaitan iklan ini, sila klik pada gambar di bawah.

MAJLIS MAKAN ISTIADAT 2009





Pada hari Khamis 20 Ogos 2009 lalu, semua warga SMKABP telah mengadakan Majlis Makan Istiadat. Program ini telah melibatkan semua pelajar dan warga SMKABP yang lain. Sempena kedatangan Ramadhan juga, program ini diadakan sebagai perhimpunan muhibah untuk semua warga SMKABP. Bermulanya cuti sekolah pada 22 Ogos juga diharap dapat dimanfaatka sepenuhnya oleh semua pelajar untuk mengulang kaji pelajaran terutama calon SPM yang bakal menduduki peperiksaan percubaan pada 2 September nanti. Selamat bercuti dan selamat berpuasa!

Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)


Darul Quran (DQ) merupakan salah satu pusat pengajian Islam yang terdapat di Malaysia. DQ merupakan pusat pengajian di bawah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Di sini dipaparkan maklumat berkaitan DQ untuk pengetahuan semua. Kepada calon-calon SPM yang bakal menghadapi Peperiksaan Percubaan SPM bermula 2 September ini, berusalah untuk mendapat keputusan terbaik kerana permohonan kemasukan ke DQ mengambil kira keputusan Percubaan SPM anda. Selamat Maju Jaya!

Sejarah Darul Quran...

Penubuhan Darul Quran bermula pada tahun 1966 apabila Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tuanku Abdul Rahman Putera Al-Haj melahirkan hasrat untuk mewujudkan sebuah Institut Pengajian al-Quran di Malaysia. Hasrat ini telah dinyatakan sewaktu perasmian Masjid Negara di mana idea ini timbul ekoran daripada Musabaqah Al-Quran yang diadakan semenjak tahun 1960 serta lawatan Rektor Universiti Al-Azhar Sheikh Mahmud Syaltut di perasmian Masjid Negara tersebut.

Sebagai permulaan, Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat ditubuhkan sebagai salah satu unit di Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur. Dengan penubuhan tersebut maka bermulalah pengajian dalam bidang Tahfiz al-Quran di Dewan Syarahan Masjid Negara pada 1 Mac, 1966 dengan bilangan pelajar pada masa itu seramai 8 orang sebagai perantis yang dipilih dan dihantar oleh negeri-negeri di Malaysia.

Dari tahun 1966 hingga tahun 1978 pengajian ini diletakkan di bawah kelolaan Jawatankuasa Tadbir Masjid Negara dan Urusetia Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, pada tahun 1972 dan ianya diberi nama “Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat”.

Awal tahun 1979 Maahad Tahfiz diletakkan pula di bawah kelolaan Pusat Penyelidikan Islam, Bahagian Ugama, Jabatan Perdana Menteri sehingga tahun 1980. Selepas itu Maahad Tahfiz dipindahkan ke Bangunan JKR 588/33, Jalan Chenderasari, Kuala Lumpur dan dan kemudiannya diletakkan di bawah kelolaan Institut Dakwah dan Latihan Islam (INDAH) Bahagian Ugama, Jabatan Perdana Menteri sehingga tahun 1983.

Sehinggalah pada tahun 1984 Maahad Tahfiz telah lahir sebagai sebuah Cawangan di Bahagian Ugama, Jabatan Perdana Menteri dengan organisasinya yang tersendiri.

Pada Tahun 1992 Maahad Tahfiz kemudiannya dipindahkan ke Taman Tun Dr. Ismail bagi penempatan pelajar lelaki dan pelajar perempuan pula ditempatkan di Jalan Ledang. Pada Tahun 1994 pelajar perempuan kemudiannya dipindahkan ke Taman Tun Dr. Ismail, manakala pelajar lelaki dipindahkan ke Batu 14 Sg. Semungkus Hulu Langat Selangor.

Pada tahun 1997 Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat telah dinaikkan taraf sebagai salah satu bahagian di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan diberi nama Darul Quran Akhirnya pada 1 November 1998, Darul Quran ditempatkan ke kampus tetap di Kompleks Darul Quran di Ampang Pecah Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Objektif Darul Quran

1. Mensepadukan ilmu (duniawi dan ukhrawi) untuk melahirkan golongan
professional yang hafiz, mahir lagi berketerampilan selaras dengan
keperluan ummah dan negara.

2. Menyediakan asas penjanaan ke arah melahirkan cendikiawan yang
berkemampuan mengembalikan tradisi zaman kegemilangan keilmuan
Islam.


Visi

Melahirkan generasi Al-Quran yang bertaqwa, berilmu dan bermanfaat kepada pembangunan Negara dan Ummah

Misi

Mendidik dan melatih pelajar dalam bidang Tahfiz Al-Quran dan Qiraat

Falsafah

Ilmu pengetahuan disebarkan dalam semangat tauhid ke arah membentuk generasi Al-Quran yang bertaqwa menjurus kepada pengakuan bahawa Allah itu Esa, Pencipta dan Tuhan bagi sekalian alam.

Pengambilan Pelajar

Pengambilan pelajar bagi Program Diploma kebiasaannya dibuat pada Mei manakala pelajar Program Persijilan pula dibuat pada bulan Disember setiap tahun.

Syarat-syarat

1.Warganegara Malaysia yang belum berkahwin lulus serta ;
2. Berumur kurang 21 tahun dan lulus Sijil Pelajaran Malaysia dengan kepujian dalam mata pelajaran berikut:
a) Bahasa Melayu
b) Bahasa Arab Tinggi/Bahasa Arab komunikasi
c) Pendidikan Quran Sunnah/Pendidikan Syariah Islamiah/ Pendidikan Islam Dan :
d) Lulus bahasa Inggeris

Program yang Ditawarkan

Darul Quran menawarkan 3 program Diploma dan 3 program Persijilan iaitu:
a) Diploma Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat
b) Diploma Tahfiz Al-Quran Wal Dakwah
c) Diploma Tahfiz Al-Quran Wal Syariah
d) Sijil Tahfiz Al-Quran dengan kerjasama UIAM
e) Sijil Tinggi Taranum Al-Quran (STTQ)
f) Sijil Tahfiz Al-Quran (6 Juzu’) untuk Orang Kurang Upaya Masalah Penglihatan (OKUMP)

Tempoh Pengajian

Bagi program Diploma, tempoh pengajian adalah 3 tahun (6 semester) manakala bagi program Persijilan tahfiz dengan kerjasama dengan UIAM adalah 1 tahun 6 bulan (3 Semester). Bagi program Sijil Tinggi taranum (STTQ) pula adalah 2 bulan dan Sijil Tahfiz untuk Orang Kurang Upaya masalah Penglihatan (OKUMP) adalah 6 bulan.

Yuran Pengajian

Yuran pengajian hanya dikenakan ketika sesi pendaftaran sahaja. Manakala bagi semester yang berikutnya yuran tidak dikenakan.

Pengiktirafan

Terdapat beberapa Institusi di dalam dan luar negara yang mengiktiraf Darul Quran antaranya :
Universiti dalam negara :
- Universiti Malaya. (UM)
- Universiti Kebangsaan Malaysia. (UKM)
- Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. (UIAM)
- Universiti Sains Islam Malaysia. (USIM)
- Universiti Putra Malaysia. (UPM)
- Universiti Darul Iman Malaysia. (UDM)
- Universiti Pendidikan Sultan Idris. (UPSI)
- Universiti Utara Malaysia. (UUM)
- Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor. (KUIS)
- Kolej Universiti Insaniah Kedah. (INSANIAH)

Universiti luar negara :
- Ma’ahad Qiraat Al-Azhar, Mesir.
- Universiti Islam Negeri, Sultan Syarif Kassim,
Indonesia.

Bagi mendapatkan gambaran lebih jelas tentang DQ, anda boleh melayari pautan berikut :
http://www.darulquran.gov.my/

SELAMAT DATANG RAMADHAN...JOM KITA LIHAT APA KELEBIHAN RAMADHAN

Ramadhan datang lagi...rasanya belum terlambat untuk mengucapkan selamat menyambut kehadiran Ramadhan, bulan barakah dan maghfirah...semoga Ramadhan kali ini membawa rahmat dan keberkatan untuk kehidupan kita..InsyaAllah...

Di kesempatan ini, saya kongsikan sedikit maklumat berkaitan kelebihan Ramadhan...

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.

1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-

4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-

5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-

PENERANGAN HADIS

1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.

2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.

3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.

4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.

5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.

6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.

7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.

8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.

9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.

10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.

11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.

Influenza A H1N1


Memandangkan ramai di antara pelajar di SMABP diserang demam sejak 2 minggu lalu, maka langkah-langkah penjagaan kesihatan sangat dititikberatkan sekarang. Ketika inipun masih ada pelajar demam yang dikuarantin atas nasihat pihak Pusat Kesihatan Bandar Penawar. Calon PMR yang sedang menjalani peperiksaan percubaan juga mengambil peperiksaan dalam bilik khas. Alhamdulillah setakat ini tiada warga SMKABP yang positif H1N1. Bagi mengelakkan kita semua terkena jangkitan Influenza A H1N1 atau juga dikenali sebagai selsema babi, berikut dipaparkan sedikit informasi berkaitan. Semoga kita sama-sama terhindar daripada bahaya penyakit ini.


Virus influenza A (H1N1) adalah virus baru dan semua orang tiada daya ketahanan kepada jangkitan ini. Vaksin bagi melindungi jangkitan juga belum ada. Jika penularan dalam komuniti tidak dikawal dengan baik, penyakit yang mudah menular ini (contangious) akan merebak dengan cepat serta melibatkan kejadian kes-kes yang tinggi atau banyak dan jika keadaan ini tidak terkawal kejadian kes berkomplikasi akan berlaku termasuk kematian.


Sebagaimana yang dilaporkan sebelum ini, untuk membendung wabak pandemik di Malaysia (to slow down the spread), aktiviti kawalan dan pencegahan yang sedia-ada akan diteruskan melalui langkah-langkah pencegahan dan mitigasi. Langkah pencegahan dan mitigasi ini perlu diambil bagi memastikan kes-kes yang berisiko dikenal pasti dan diambil tindakan awal untuk mengelakkan komplikasi. Orang ramai adalah diminta untuk sama-sama mengambil bahagian dalam menangani pandemik ini.


Aktiviti-aktiviti yang sedia ada akan dikaji dari semasa ke semasa untuk memastikan pelaksanaan aktiviti kawalan dan pencegahan yang cekap dan berkesan agar penularan kes di Malaysia dapat dikurangkan ke tahap yang minima.

Apa itu Fasa Mitigasi ? (Peredaan)
Aktiviti mitigasi adalah tindakan membendung wabak pandemik H1N1 di Malaysia dengan memperkukuhkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan seperti mengamalkan kebersihan diri, kerap mencuci tangan dan mengamalkan adab batuk yang sesuai. Strategi utama fasa ini adalah untuk mengurangkan kesengsaraan dan kematian akibat penyakit ini, melambatkan jangkitan penyakit dan mengurangkan kesan terhadap gangguan perkhidmatan utama.

Siapakah yang berisiko tinggi akibat jangkitan Influenza A (H1N1)?
- Kanak-kanak berusia kurang 5 tahun
- Individu berusia 65 tahun dan ke atas
- Kanak-kanak dan remaja (<>(immunosuppression)
- Individu yang menginap di rumah kebajikan dan institusi penjagaan yang lain

Peranan Masyarakat Semasa Fasa Mitigasi
- Masyarakat perlu mengetahui cara virus ini merebak.
- Influenza A (H1N1) virus berjangkit dari manusia kepada manusia melalui titisan cecair, (yang dikeluarkan semasa bercakap, batuk atau bersin).
- Mana-mana individu yang berhubung rapat (lebih kurang 1 meter) dengan individu yang mengalami gejala selesema (demam, bersin, batuk, hidung berair, menggigil, sakit sendi dan lain-lain adalah berisiko untuk mendapat jangkitan penyakit akibat dari titisan cecair.


Oleh itu, masyarakat perlu mengambil langkah pencegahan berikut:
- Amalkan kebersihan diri dan adab batuk yang betul
- Amalkan kawalan jangkitan sama ada di rumah, tempat kerja atau pengangkutan awam
- Peranan penutup mulut dan hidung (mask) dalam masyarakat walaupun tiada bukti kukuh mengenai keberkesanan memakai mask di tempat awam. Namun, ia telah digunakan dalam ruang yang sesak/tertutup apabila berhubung dengan individu yang mengalami gejala selesema.
Individu boleh memakai penutup mulut dan hidung (surgical mask) di rumah dan di kalangan masyarakat, terutamanya jika mereka berhubung rapat dengan individu yang mengalami gejala influenza, contohnya semasa menjaga ahli keluarga yang sakit. Penggunaan mask membolehkan individu yang mengalami gejala influenza untuk menutup mulut dan hidung mereka bagi menghalang titisan cecair dari tersebar, salah satu kaedah adab batuk yang betul/baik.
Surgical mask juga disyorkan kepada golongan yang berisiko tinggi apabila berada di kawasan yang sesak.
- Pesakit dinasihatkan untuk tinggal di rumah, elakkan berhubung rapat dengan ahli keluarga yang lain serta mengambil langkah kawalan dan pencegahan dari menjangkiti mereka yang menjaga pesakit.
- Sekiranya gejala influenza semakin teruk, pesakit hendaklah SEGERA mendapatkan rawatan di hospital.
- Sekiranya individu yang tergolong dalam kumpulan yang berisiko tinggi mengalami gejala influenza, segera dapatkan rawatan awal
- Elakkan berada di kawasan sesak dan seboleh-bolehnya tangguhkan/ batalkan / kurangkan menghadiri majlis keramaian
- Dapatkan maklumat terkini mengenai situasi semasa dari sumber yang boleh dipercayai seperti Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)


Permohonan Kemasukan Ke IPTA Lepasan SPM Sesi 2009/2010

Untuk makluman semua, permohonan kemasukan ke IPTA bagi pemohon lepasan SPM tahun 2009 untuk pengambilan IPTA tahun 2009/2010 akan mula dibuka pada 3 November 2009. Tarikh tutup permohonan adalah pada 31 Disember 2009. Maklumat lanjut serta aplikasi ke talian online permohonan tersebut akan diakses ke blog ini kelak.

Kem Jati Diri Permata Diri






















Kem Jati Diri Permata Diri telah diadakan pada 26 hingga 29 Jun lepas di sekitar SMK Agama Bandar Penawar. Penyertaan peserta adalah daripada kalangan pelajar tingkatan dua hingga enam atas. Program ini telah dikendalikan bersama dengan pihak Saidina Smart & Consultancy. Peserta-peserta telah diberikan pendedahan tentang konsep menghargai diri dan persekitaran, meningkatkan kesedaran diri terhadap tanggungjawab sebagai seorang pelajar, pemimpin, anak dan ahli masyarakat.






Mengenali Jenis-jenis Manusia...

Siapakah orang yang bijak?
Orang yang bijak ialah orang yang tidak mensia-siakan hidup, waktu, usia, harta, umurnya dengan perkara yang tidak mendatangkan faedah baginya dan masyarakat.

Renungan Bersama........

Siapakah orang yang sibuk?
Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a.s.

Siapakah orang yang manis senyumannya?
Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang ditimpa musibah lalu dia berkata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil berkata,"Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.

Siapakah orang yang kaya?
Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak lupa akan kenikmatan dunia yang sementara ini.

Siapakah orang yang miskin?
Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk-numpukkan harta.

Siapakah orang yang rugi?
Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikkan.

Siapakah orang yang paling cantik?
Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?
Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit?
Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya.

Siapakah orang yang mempunyai akal?
Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari seksa neraka.

Siapakah org yang bijak?
Orang yg bijak ialah org yang tidak membiar maklumat ini begitu sahaja, malah dia akan menyampaikan pula pada orang lain untuk dimanfaatkan dan ambil iktibar sebagai sandaran dan buat pedoman kehidupan kita seharian.

Semoga kita mendapat keberkatan hidup di dunia dan akhirat. InsyaAllah...

Objektif dan Keistimewaan SMKA

Mungkin ada di antara kita yang masih tidak mengetahui apakah kelebihan belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA). Hakikat bahawa pembelajaran sekunder lebih penting pada waktu ini secara langsung telah membuatkan kita mengetepikan pembelajaran agama. Lebih-lebih lagi, ada juga di antara kita yang sering menganggap bahawa pembelajaran di SMKA adalah untuk mereka yang bercita-cita untuk menjadi alim ulama' dan pemimpin agama. Hakikatnya, tanggapan tersebut adalah sama sekali salah.

Jika anda mahu mengetahui maklumat lanjut berkaitan Objektif & Keistimewaan SMKA, anda boleh mengunjungi aplikasi berikut :
[klik di sini] http://www.moe.gov.my/?id=128&lang=my

Semoga anda beroleh maklumat yang lebih jelas berkaitan pembelajaran di SMKA. Perkara lebih penting, kita semua beroleh manfaat dan keberkatan yang lebih dalam usaha menuntut ilmu.

Pendaftaran Online Ke Kolej Matrikulasi KPM sedang dibuka sekarang!!!

Pendaftaran Secara Online bagi kemasukan ke Kolej Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia bagi sesi lepasan SPM 2009 sedang dibuka sekarang. Bagi pelajar-pelajar yang telah membuat pembelian No.Pin BSN melalui Unit Bimbingan & Kaunseling boleh mendapatkan No.Pin anda dan mula mendaftar. Sebarang kemusykilan boleh merujuk kepada GBK anda.

Pendaftaran secara online boleh dibuat melalui aplikasi berikut :
[klik di sini] http://apps.emoe.gov.my/permohonan_matrikulasi/

Selamat Datang ke Laman Blog Unit Bimbingan & Kaunseling...

Selamat datang ke laman blog unit bimbingan dan kaunseling...
Semoga laman ini menjadi laman sumber info bermaklumat yang bermanfaat untuk anda...
Komen dan cadangan anda dialu-alukan untuk menambah baik fungsi laman blog ini...