IKTIBAR UNTUK KITA SEMUA...
Tuesday, November 10, 2009 11/10/2009 08:51:00 AM
Posted by kaunselor anda...
Waktu gempa bumi di Padang menyamai 3 nas al-Quran
Kejadian suatu kebetulan yang perlu kita renungkan, insaflah kita umat ingkar suruhan Ilahi bahawa segala kejadian di muka bumi ini adalah ketetapan Allah SWT. Begitu juga dengan musibah gempa yang berlaku di Padang, Sumatera. Kebetulan juga waktu terjadi musibah itu dengan kaitan surah dan ayat yang ada hubungannya dalam kitab suci Al-Quran Al Karim.
Cuba perhatikan gempa di Padang pada jam 17.16 petang, kemudian susulan gempa pada jam 17.58 petang dan esoknya terjadi gempa di Jambi pada jam 08.52 (waktu antarabangsa). Jam 17.16 (iaitu surah ke-17, al-Israk, ayat 16) bermaksud:
"Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah), tetapi mereka melakukan kederhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya."
Jam 17.58 (surah ke-17, al-Israk, ayat 58) bermaksud:
"Tidak ada suatu negeri pun (yang derhaka penduduknya), melainkan Kami membinasakannya sebelum kiamat atau Kami azab (penduduknya) dengan azab yang sangat keras. Yang demikian itu sudah tertulis di dalam kitab (Luh Mahfuz)."
Jam 08.52 (surah ke-8, al-Anfal, ayat 52) bermaksud:
"(keadaan mereka) seperti Firaun dan pengikutnya serta orang sebelumnya. Mereka mengingkari ayat Allah, maka Allah menyeksa mereka disebabkan dosanya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Amat Keras seksaan-Nya."
Tiga ayat Allah SWT di atas, yang ditunjukkan tepat dalam waktu kejadian tiga gempa di Sumatera. Mengenai azab Allah kehancuran dan kematian serta kaitannya dengan hidup mewah dan derhaka. Dengan pelbagai kebetulan yang Allah SWT sampaikan ketika musibah itu, Allah jelas hendak mengingatkan kita.
Apakah ia sekadar kebetulan di sebalik rahsia kejadian tanpa mengandungi pengajaran? Apakah mesej Allah itu akan mengubah kita agar lebih berhati-hati dan taat perintah dan menjauhi larangan-Nya? Mungkinkah kita tidak peduli atau mentertawakan seperti kaum Musyrikin Quraisy mempersendakan risalah disampaikan kepada Rasulullah SAW?
Semua terpulang kepada kita. Manusia bukan makhluk tunggal di muka bumi ini. Manusia bersama makhluk lain yang juga memiliki hak sama untuk dapat hidup mengikut sunnatullah yang ditetapkan Allah SWT. Walaupun alam dengan isinya mungkin ditundukkan oleh manusia dengan ilmu pengetahuan, tidak bererti alam harus tunduk kepada manusia. Alam tetap patuh dan pasrah (Islam) kepada Allah.
Alam dengan segala isinya memiliki kehidupan sendiri. Harus disedari, kita dan alam memiliki hak yang sama untuk mengabdikan kepada Allah, tentu saja dengan cara sendiri. Sebenarnya sesama makhluk Allah, kita harus dapat harmonikan kehidupan dengan alam. Jika tidak, berlaku ketegangan, pertembungan dan saling menghancurkan.
Antara yang perlu kita perhatikan disebut Al-Quran tasbih bumi iaitu bumi juga makhluk Allah yang sentiasa bertasbih kepada Allah. Orang bertasbih menyucikan Allah daripada segala perbuatan yang tidak sewajarnya. Kata Subhanallah yang selalu kita lafazkan selepas solat bererti Maha Suci Allah dengan segala sifat dan perbuatan-Nya.
Ilmuwan Muslim, Zaghlul an-Najjar, dalam bukunya Shuarun min Tasbih al-Kainaat Lillah (Ketika Alam Bertasbih) menyatakan: Al-Quran menegaskan langit dan bumi dapat berbicara, menangis dan berasa sakit serta pedih.
Riwayat daripada Nabi SAW yang menjelaskan makna Surah al-Zalzalah, ayat 3, yang mengatakan: Pada hari itu bumi menceritakan. Baginda bertanya: "Tahukah kamu beritanya?" Mereka menjawab: "Allah dan Rasul-Nya lebih tahu." Baginda berkata: "Sesungguhnya berita ia (bumi) bersaksi atas hamba atau umat yang berada di atasnya. Ia (bumi) berkata, melakukan ini pada hari ini, begini dan begitu." (Riwayat at-Tirmizi).
Amat mengelirukan jika kita menganggap bumi sebagai benda mati yang tidak memberi reaksi terhadap apa yang dilakukan manusia di muka bumi ini. Jelas bahawa bumi tempat kita berpijak selalu bertasbih dan berdialog kepada Allah SWT. Bumi mensucikan Allah dan memuji-Nya dengan cara yang tidak kita ketahui. Apakah akan terjadi jika manusia yang hidup di muka bumi ini tidak bertasbih kepada Allah?
Betapa seksanya bumi menampung manusia kufur, berdosa, bermaksiat dan melupakan Allah. Bumi berasa berat dan menanggung beban yang tidak tertahan kerana dipijak manusia yang derhaka dan berdosa. Gempa adalah reaksi bumi. Kita memerlukan pendekatan teologi dan spritual. Gempa membuat manusia sedar bahawa selain manusia, langit dan bumi berserta apa yang ada di dalamnya juga makhluk Allah yang memiliki hukum dan kehidupannya sendiri. Bumi agak marah kepada manusia yang tidak pernah tersedar, kufur, dan ingkar kepada Allah.
Firman Allah bermaksud:
"Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan (yang dahsyat), dan bumi telah mengeluarkan beban (yang dikandungnya), dan manusia bertanya: Mengapa bumi (menjadi begini?)" (Surah al-Zalzalah : 1-3)
Maka kita sebagi umat Muhammad SAW yang ditinggalkan dengan syariat dan Al-Quran sebagai mukjizat, sunnah sebagai panduan dan seharusnya menjadi ikutan sewajarnya menginsafi diri kita atas segala perbuatan kita. Moga Allah membuka pintu keinsafan kepada kita seterusnya membuka lorong-lorong keimanan untuk kita semua.
MASALAH DISIPLIN DALAM KALANGAN PELAJAR; SALAH SIAPA?
Friday, November 6, 2009 11/06/2009 11:17:00 AM
Posted by kaunselor anda...
SALAH SIAPA apabila pelajar kita gagal mengikut peraturan yang telah ditetapkan? Adakah kerana peraturan yang dibentuk oleh manusia itu terlalu lemah?
Pada minggu ini, saya fikir Unit Hal Ehwal Murid (HEM), Unit Disiplin dan Unit Bimbingan & Kaunseling adalah antara yang paling sibuk. Unit Kurikulum dan Peperiksaan juga sebenarnya tidak henti dengan pelbagai tugasan memandangkan pada waktu ini peperiksaan akhir tahun sedang dijalankan.
Semalam (Khamis, 5 November 2009) terdapat sepasang suami isteri datang ke bilik kaunseling untuk membincangkan tentang anaknya. Mmm...risau juga sebenarnya menghadapi kehadiran ibu bapa atas dasar sebegini. Adakalanya ibu bapa agak emosional dalam menghadapikaernah anak-anak. Namun, alhamdulillah perbincangan berlangsung dengan baik dan telahpun diuruskan. Rasanya tidak perlu saya membincangkan apakah yang berlaku kepada pelajar tersebut di sini.
Sebenarnya bermula 14 Oktober lalu hinggalah 20 November nanti, Unit Bimbingan dan Kaunseling (UBK) sedang menjalankan Program Selepas PMR. Hal ini bermakna, kami berdua sangat sibuk tetapi mujur juga kerjasama guru-guru lain banyak meringankan beban kami. Justeru, apabila berlaku kes disiplin dalam kalangan pelajar pada waktu ini, aduh...tak menang tangan dibuatnya walaupun kami bukanlah pengurus unit disiplin secara langsung. Tetapi, walau apapun kami tetap bertanggungjawab dalam hal ini.
Melihat kepada senario yang berlaku kepada pelajar-pelajar di sekolah ini, kenyataan orang bahawa pelajar SMKABP pelajar pandai dan terpilih ditambah dengan pembelajaran agama menjadikan mereka pelajar yang pintar dan baik, sebenarnya kurang tepat. Saya masih ingat lagi kata-kata yang diberikan kepada saya apabila saya dihantar bertugas di sekolah ini dulu. "Takpe, pelajar SMKA tak banyak masalah. Pelajar pandai-pandai..."
Tapi realitinya? Saya fikir, hanya mereka yang pernah bertugas di sekolah ini saja yang benar-benar faham bagaimana karenah anak didik kita di sini. Bukan merungut sebaliknya saya sangat bersyukur kerana memang tidak dinafikan beban masalah pelajar di sini tidaklah serancak kes disiplin di sekolah harian biasa. Namun, cabarannya tetap ada...
Di sekolah ini, amalan keagamaan sememangnya diterapkan dengan sistematik. Bermula dengan solat berjemaah, amalan-amalan sunat dan pembudayaan amalan penghayatan Al-Quran juga sangat hebat! Tetapi, mengapa masih terdapat pelajar yang bermasalah disiplin? Kalau hendak mengambil kira tugas guru, warden, barisan pentadbir dan semua pihak, rasanya sudah lebih daripada mencukupi. PIBG juga memberikan sokongan yang cukup baik. Masalah sumber kewangan untuk menjalankan aktiviti bukanlah masalah utama. Kadang-kadang terfikir juga, apa lagi agaknya yang pelajar-pelajar ini mahu?
Mungkin inilah cabaran mendidik generasi sekarang untuk menentukan pembangunan manusia sebagai generasi akan datang. Bukan mudah tetapi sebenarnya boleh dilakukan. Tanggungjawab yang berat tetapi sebenarnya masih boleh dipikul.
Pada waktu ini, saya dan rakan-rakan guru yang lain sebenarnya masih mengharapkan kesedaran dalaman daripada pelajar-pelajar. Bangunlah anak didikku, bangkitlah daripada mimpi-mimpimu...masa depanmu menanti untuk dipimpin dan dikejar. Usah lagi bermimpi di siang hari, takut nanti kita tidak lagi berpijak di bumi nyata...
Harapan akan terus menjadi harapan... Moga ALLAH SWT mempermudahkan jalan untuk kita semua...
AL-FALAH DINNER NITE
Wednesday, November 4, 2009 11/04/2009 10:30:00 AM
Posted by kaunselor anda...
Pada malam ini bertempat di Desaru Golden Hotel, semua warga Kelab Al-Falah yang terdiri daripada barisan pentadbir, guru-guru dan staf SMKABP akan mengadakan Majlis Makan Malam 2009. Semoga majlis akan meriah dan mengeratkan silaturrahim semua yang terlibat, insyaALLAH...
BERCINTA vs BELAJAR ; YANG MANA PERLU DIDAHULUKAN?
11/04/2009 10:04:00 AM
Posted by kaunselor anda...

Gambar ini merupakan salah satu dariada 'resipi percintaan' pelajar SMKABP. Ianya diperbuat daripada polisterina yang diberikan kepada pelajar untuk membuat kerja-kerja mencantikkan makmal sekolah. Malangnya, amanah yang diberikan disalah guna hingga terhasil 'tanda cinta' sedemikian. Oleh itu, apakah pandangan anda?
Adakah betul atau sebaliknya tindakan seseorang pelajar mempunyai hubungan perasaan lebih daripada kawan terhadap rakan berlainan jantinanya yang lain misalnya lelaki dengan perempuan, perempuan dengan lelaki. Apa yang saya paparkan hanyalah bukti kecil yang saya peroleh. Hakikatnya, di bilik saya terdapat pelbagai lagi surat dan kad cinta pelajar tidak kiralah pelajar tingkatan 5, 4, 3, 2 mahupun seawal tingkatan 1 sudah mula pandai bercinta. Bahasa yang berbunga, panggilan ayg, syg, abg, bie, kanda, dinda dan entah apa lagi yang adakalanya membuat saya tergelak, mual, loya, sedih dan risau.
Saya fikir, guru-guru di sekolah lain juga berhadapan dengan situasi yang sama. Cuma mungkin bezanya ialah gaya percintaan anak didik kita ini. Persoalannya, apakah faedah bercinta kepada pelajar? Bukankah fokus utama yang patut diberikan pada waktu ini adalah terhadap pelajaran?
Sebenarnya dalam banyak hal saya cuba bersikap fleksibel dan menerima keadaan pelajar seadanya mereka. Pandangan saya ialah tidak salah bercinta asalkan tidak mengabaikan pelajaran. Namun malangnya, hakikat yang berlaku apabila seseorang pelajar itu bercinta, maka perkara berikut akan berlaku :
1. Prestasi pelajaran merosot akibat hilang tumpuan belajar
2. Cenderung melakukan kesalahan disiplin terutama bagi pasangan satu sekolah kerana selalu berjumpa berduaan
3. Kekerapan berbohong meningkat dengan mendadak kerana hendak menyembunyikan kesalahan
4. Sering berkhayal hingga mengakibatkan banyak tugasan tidak dilakukan dengan sempurna atau selalunya yang lebih teruk, tidak buat langsung!
5. Masalah disiplin bertambah seperti membawa telefon bimbit, ponteng kelas, bercumbuan...banyak lagi la...
So, apakah sebenarnya yang sewajarnya kita lakukan? Parents nowadays pun blh tahan... cakap anak2 lebih betul & laku daripada cakap kita. Ntahla...
SEKITAR PROGRAM SELEPAS PMR
11/04/2009 09:42:00 AM
Posted by kaunselor anda...
Program Selepas PMR telah sedang dan akan berlangsung bermula pada 14 Oktober lalu hingga 20 November nanti. Berikut merupakan sebahagian rakaman peristiwa yang telah berlaku sepanjang program dijalankan.