Darul Quran (DQ) merupakan salah satu pusat pengajian Islam yang terdapat di Malaysia. DQ merupakan pusat pengajian di bawah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Di sini dipaparkan maklumat berkaitan DQ untuk pengetahuan semua. Kepada calon-calon SPM yang bakal menghadapi Peperiksaan Percubaan SPM bermula 2 September ini, berusalah untuk mendapat keputusan terbaik kerana permohonan kemasukan ke DQ mengambil kira keputusan Percubaan SPM anda. Selamat Maju Jaya!

Sejarah Darul Quran...

Penubuhan Darul Quran bermula pada tahun 1966 apabila Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tuanku Abdul Rahman Putera Al-Haj melahirkan hasrat untuk mewujudkan sebuah Institut Pengajian al-Quran di Malaysia. Hasrat ini telah dinyatakan sewaktu perasmian Masjid Negara di mana idea ini timbul ekoran daripada Musabaqah Al-Quran yang diadakan semenjak tahun 1960 serta lawatan Rektor Universiti Al-Azhar Sheikh Mahmud Syaltut di perasmian Masjid Negara tersebut.

Sebagai permulaan, Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat ditubuhkan sebagai salah satu unit di Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur. Dengan penubuhan tersebut maka bermulalah pengajian dalam bidang Tahfiz al-Quran di Dewan Syarahan Masjid Negara pada 1 Mac, 1966 dengan bilangan pelajar pada masa itu seramai 8 orang sebagai perantis yang dipilih dan dihantar oleh negeri-negeri di Malaysia.

Dari tahun 1966 hingga tahun 1978 pengajian ini diletakkan di bawah kelolaan Jawatankuasa Tadbir Masjid Negara dan Urusetia Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, pada tahun 1972 dan ianya diberi nama “Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat”.

Awal tahun 1979 Maahad Tahfiz diletakkan pula di bawah kelolaan Pusat Penyelidikan Islam, Bahagian Ugama, Jabatan Perdana Menteri sehingga tahun 1980. Selepas itu Maahad Tahfiz dipindahkan ke Bangunan JKR 588/33, Jalan Chenderasari, Kuala Lumpur dan dan kemudiannya diletakkan di bawah kelolaan Institut Dakwah dan Latihan Islam (INDAH) Bahagian Ugama, Jabatan Perdana Menteri sehingga tahun 1983.

Sehinggalah pada tahun 1984 Maahad Tahfiz telah lahir sebagai sebuah Cawangan di Bahagian Ugama, Jabatan Perdana Menteri dengan organisasinya yang tersendiri.

Pada Tahun 1992 Maahad Tahfiz kemudiannya dipindahkan ke Taman Tun Dr. Ismail bagi penempatan pelajar lelaki dan pelajar perempuan pula ditempatkan di Jalan Ledang. Pada Tahun 1994 pelajar perempuan kemudiannya dipindahkan ke Taman Tun Dr. Ismail, manakala pelajar lelaki dipindahkan ke Batu 14 Sg. Semungkus Hulu Langat Selangor.

Pada tahun 1997 Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat telah dinaikkan taraf sebagai salah satu bahagian di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan diberi nama Darul Quran Akhirnya pada 1 November 1998, Darul Quran ditempatkan ke kampus tetap di Kompleks Darul Quran di Ampang Pecah Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Objektif Darul Quran

1. Mensepadukan ilmu (duniawi dan ukhrawi) untuk melahirkan golongan
professional yang hafiz, mahir lagi berketerampilan selaras dengan
keperluan ummah dan negara.

2. Menyediakan asas penjanaan ke arah melahirkan cendikiawan yang
berkemampuan mengembalikan tradisi zaman kegemilangan keilmuan
Islam.


Visi

Melahirkan generasi Al-Quran yang bertaqwa, berilmu dan bermanfaat kepada pembangunan Negara dan Ummah

Misi

Mendidik dan melatih pelajar dalam bidang Tahfiz Al-Quran dan Qiraat

Falsafah

Ilmu pengetahuan disebarkan dalam semangat tauhid ke arah membentuk generasi Al-Quran yang bertaqwa menjurus kepada pengakuan bahawa Allah itu Esa, Pencipta dan Tuhan bagi sekalian alam.

Pengambilan Pelajar

Pengambilan pelajar bagi Program Diploma kebiasaannya dibuat pada Mei manakala pelajar Program Persijilan pula dibuat pada bulan Disember setiap tahun.

Syarat-syarat

1.Warganegara Malaysia yang belum berkahwin lulus serta ;
2. Berumur kurang 21 tahun dan lulus Sijil Pelajaran Malaysia dengan kepujian dalam mata pelajaran berikut:
a) Bahasa Melayu
b) Bahasa Arab Tinggi/Bahasa Arab komunikasi
c) Pendidikan Quran Sunnah/Pendidikan Syariah Islamiah/ Pendidikan Islam Dan :
d) Lulus bahasa Inggeris

Program yang Ditawarkan

Darul Quran menawarkan 3 program Diploma dan 3 program Persijilan iaitu:
a) Diploma Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat
b) Diploma Tahfiz Al-Quran Wal Dakwah
c) Diploma Tahfiz Al-Quran Wal Syariah
d) Sijil Tahfiz Al-Quran dengan kerjasama UIAM
e) Sijil Tinggi Taranum Al-Quran (STTQ)
f) Sijil Tahfiz Al-Quran (6 Juzu’) untuk Orang Kurang Upaya Masalah Penglihatan (OKUMP)

Tempoh Pengajian

Bagi program Diploma, tempoh pengajian adalah 3 tahun (6 semester) manakala bagi program Persijilan tahfiz dengan kerjasama dengan UIAM adalah 1 tahun 6 bulan (3 Semester). Bagi program Sijil Tinggi taranum (STTQ) pula adalah 2 bulan dan Sijil Tahfiz untuk Orang Kurang Upaya masalah Penglihatan (OKUMP) adalah 6 bulan.

Yuran Pengajian

Yuran pengajian hanya dikenakan ketika sesi pendaftaran sahaja. Manakala bagi semester yang berikutnya yuran tidak dikenakan.

Pengiktirafan

Terdapat beberapa Institusi di dalam dan luar negara yang mengiktiraf Darul Quran antaranya :
Universiti dalam negara :
- Universiti Malaya. (UM)
- Universiti Kebangsaan Malaysia. (UKM)
- Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. (UIAM)
- Universiti Sains Islam Malaysia. (USIM)
- Universiti Putra Malaysia. (UPM)
- Universiti Darul Iman Malaysia. (UDM)
- Universiti Pendidikan Sultan Idris. (UPSI)
- Universiti Utara Malaysia. (UUM)
- Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor. (KUIS)
- Kolej Universiti Insaniah Kedah. (INSANIAH)

Universiti luar negara :
- Ma’ahad Qiraat Al-Azhar, Mesir.
- Universiti Islam Negeri, Sultan Syarif Kassim,
Indonesia.

Bagi mendapatkan gambaran lebih jelas tentang DQ, anda boleh melayari pautan berikut :
http://www.darulquran.gov.my/