KEM REMAJA CUTI SEKOLAH

Assalamualaikum Wbt....

KEM REMAJA CUTI SEKOLAH....
KBM SSQ+5R....
9 - 12 Disember 2009
Impian Country Resort, Batu 14, Hulu Langat.

terbuka kepada semua remaja MALAYSIA berumur dari 13-16 tahun....

sila Daftar ONLINE atau DOWNLOAD BORANG pendaftaran di Blogspot kami...
untuk maklumat lanjut sila layari laman web ini:

http://kbm-ssq-5r.blogspot.com

alamilah kelainannya............

AMANAT GURU UNTUK SEMUA CALON...

Berikut merupakan ucapan wakil guru untuk semua calon SPM & STPM 2009.Ucapan ini diwakili oleh Ustazah Salwidani bt Mutalib.

DETIK-DETIK AKHIR SEBELUM MASUK KE DEWAN PEPERIKSAAN...






Akhirnya 18 November 2009 tiba jua. Pagi yang tenang menyaksikan calon-calon STPM & SPM masuk juga ke dewan keramat memperjuangkan ilmu yang dipelajari selama ini. Sebelum calon masuk ke dewan, pihak sekolah telah mengadakan upacara ringkas untuk semua pelajar. Bacaan doa telah dipimpin oleh Ustaz Mohd Asfarizan b. Pungut di samping ucapan ringkas oleh Tuan Pengetua, Pn. Hjh Maimunah bt A. Rahman. Sebelum calon masuk ke dewan, wakil calon iaitu Sdra Mohd Dzafruddin b. Baharom telah mengalunkan azan sebagai pembakar semangat untuk semua calon.

AMANAT AKHIR MENTOR UNTUK MENTEE





Pagi Isnin 9 November 2009 merupakan pertemuan terakhir secara rasmi semua mentor dan mentee calon SPM dan STPM. Perjumpaan tersebut merupakan perjumpaan terakhir secara rasmi memandangkan peperiksaan SPM dan STPM akan bermula pada 18 November ini.

Semoga pertemuan tersebut banyak memberi manfaat kepada pelajar dan membantu guru-guru dalam mendekati dan memberi bimbingan terbaik kepada semua pelajar.

PROGRAM RESTU ILMU CALON-CALON SPM & STPM





Menjelang hari peperiksaan yang semakin hampir pada 18 November 2009, UBK dengan kerjasama Penyelaras Kecemerlangan Pelajar Menengah Atas telah mengadakan Program Restu Ilmu pada kira-kira pukul 10.00 pagi di Surau Al-Falah.

Dalam program ini, amanat dan pesanan guru-guru termasuklah pentadbir dan Tuan Pengetua telah disampaikan selain amanat daripada Tuan Pengarah Pelajaran Johor, Tn. Hj Sufaat b. Tumin.

Diharap semua calon akan lebih bersemangat dan bersedia dalam menghadapi detik-detik penting mereka. Doa kami guru-guru, semoga semua calon dapat menjawab dengan tenang dan baik seterusnya berjaya di dunia dan akhirat InsyaALLAH...

MAJLIS PENGANUGERAHAN MALAM 1000 BINTANG


Pada 13 November lalu, bermula kira-kira 8.15 malam, warga SMKABP telah mengadakan Majlis Penganugerahan Malam 1000 Bintang. Majlis ini diadakan sebagai majlis jamuan akhir tahun di samping memberi pengiktirafan kepada pelajar-pelajar yang telah banyak menyumbang bakti kepada sekolah. Semoga kemeriahan majlis ini akan berterusan seiring dengan pencapaian akademik dan sahsiah pelajar yang cemerlang, InsyaALLAH...

PROGRAM SELEPAS PMR - MINGGU BIDANG TEKNIK & VOKASIONAL





Tanggal 9 hingga 12 November menjadi saksi giliran Bidang Teknik & Vokasional pula mengendalikan Program Selepas PMR. Antara aktiviti yang telah dijalankan ialah Program Pesta Jualan selama 2 hari yang cukup meriah, diikuti dengan gotong-royong perpindahan Makmal ERT ke bangunan baru serta taklimat mata pelajaran. Sedikit bingkisan daripada aktiviti tersebut...

PROGRAM SELEPAS PMR - MINGGU BIDANG SAINS & MATEMATIK



Pada 2, 3, 4 dan 13 November lalu, giliran Bidang Sains dan Matematik menyambung giliran mengendalikan Program Selepas PMR. Antara aktiviti yang dijalankan ialah Pertandingan Keceriaan Makmal dan Landskap Sains serta aktiviti taklimat mata pelajaran aliran sains. Berikut merupakan sedikit rakaman peristiwa aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan.

TIPS-TIPS MENGHADAPI STRES MENGIKUT PANDUAN ISLAM

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya padamu(Muhammad) tentang(Aku),maka katakankan pada mereka sesungguhnya Aku ini dekat dengan mereka.Aku kabulkan permohonan orang-orang yang berdoa apabila dia berdoa pada-Ku.Hendaklah mereka itu memenuhi(perintah-Ku dan beriman pada-Ku,agar mereka memperoleh kebenaran".(al-Baqarah:186)

Peperiksaan SPM semakin hampir dengan kita. Tarikh 18 November menjadi tarikh keramat penting bagi anak didik saya dalam kalangan tingkatan lima dan enam. Tidak banyak yang dapat saya bantu mereka dalam menghadapi getaran masa yang semakin mendesak. Berikut, saya kongsikan sedikit panduan menghadapi stres mengikut ajaran agama kita, Agama Islam. Moga dapat membantu kita semua dalam menghadapi cabaran kehidupan yang telah lalu, hari ini dan akan datang. InsyaALLAH...

BERSYUKURLAH

Kepada Allah s.w.t pada waktu dan saat ini kita masih lagi dikurniakan nikmat dan hidayah daripada Allah s.w.t.Eloklah kiranya kita muhasabah diri dan amal kita serta tindak tanduk yang kita lakukan kerana manusia yang CEMERLANG mampu menghitung dirinya tanpa perlu dipaksa apatah lagi menunggu saat perhitungan di hadapan Allah s.w.t.Sebab itu manusia yang CEMERLANG akan sentiasa menghitung dirinya kerana perhitungan bagi orang cemerlang bukan sekadar mendapat kebahagian di dunia bahkan MELIHAT POTENSI untuk akhirat.

Oleh itu, marilah sama-sama kita BERTAQWA pada Allah dan TAKUTLAH UNTUK MELAKUKAN MAKSIAT daripada yang sekecil-kecilnya hinggalah yang membawa kepada dosa besar kerana di hujung maksiat itu ada AZAB Allah yang menanti.Cintalah kita untuk melakukan KEBAIKAN walaupun sebesar kuman kerana di hujung KEBAIKAN ada SYURGA Allah menanti.

1. BERDOA
Kita di galakkan untuk berdoa di penghujung solat ketika sujud yang terakhir kerana sujud merupakan satu tempat paling DEKAT dengan Allah s.w.t.Ketika inilah peluang kita untuk MEMINTA KEJAYAAN yang diberkati Allah s.w.t.Selain itu juga kita digalakkan untuk melafazkan DOA pada satu pertiga malam kerana waktu inilah waktu terapi stres yang paling sesuai untuk kita.

2. WIRID / ZIKIR.
Firman Allah s.w.t di dalam surah al-ra'd ayat ke-28 yang bermaksud:

"Ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang/tenteram"

Secara psikologinya kita hanya mampu untuk fokus dalam pembelajaran hanya 45 minit sahaja.Alangkah bijaknya kita sekiranya kita berhenti seketika sebelum menyambung semula selepas 45 minit itu dengan BERZIKIR.Dalam hadith soheh Rasulullah s.a.w bersabda:

"Ada dua kalimah yang mudah untuk kamu sebut dengan lidah,tetapi berat timbangan di sisi Allah dan dua kalimah yang sangat dikasihi Allah s.w.t,dua kalimah itu ialah subhanallah wa biham dihi,Subhanallah hil a'zim"

InsyaAllah kita akan mendapat gelaran orang yang cemerlang di sisi Allah s.w.t dengan mengamalkan zikir ini kerana di samping kita mengejar dunia kita juga melihat potensi diri kita di akhirat.

3. MEMBACA AL-QURAN

Al-Quran dapat membuka pintu HIKMAH,KETENANGAN dan juga pintu HIDAYAH.Rasulullah s.a.w membuat empat perbandingan;

i)Mukmin yang membaca al-Quran adalah seperti buah limau yang baunya sedap dan rasanya sedap. Nabi bandingkan dengan buah limau adalah kerana buah limau di luarnya nampak cantik dan di dalamnya juga cantik.

ii)Orang mukmin tidak membaca Al-Quran adalah seperti buah kurma,rasanya manis tapi tiada bau.Dia mampu untuk menjaga dirinya tapi tidak mampu untuk memberi manfaat pada orang lain.

iii)Orang munafik baca Al-Quran adalah seperti minyak wangi,baunya wangi tetapi tak boleh hendak dimakan dan tidak memberi sebarang manfaat.

iv)Orang munafik yang tidak membaca Al-Quran adalah seperti buah peria yang rasanya pahit serta tidak mempunyai bau.Kepada dirinya pun dia tidak memberi kebaikan, inikan pula hendak memberi manfaat pada orang lain.

4. MENGEKALKAN DIRI DENGAN WUDHUK
Kita akan sentiasa berada dalam keadaan bersih dan suci dalam wudhuk. Para malaikat juga suka pada orang yang berwudhuk dan para malaikat akan berdoa memohon keampunan pada Allah terhadap orang yang berwudhuk. InsyaAllah,tanpa dosa sudah tentu diri kita akan berada dalam keadaan tenang. Oleh itu,sebelum kita mengulang kaji pelajaran, sama-samalah kita melatih diri kita untuk berwudhuk terlebih dahulu supaya kita mendapat ketenangan dan mudah untuk ingat apa yang kita baca.

Akhir sekali,marilah sama-sama kita berdoa agar kita menghadapi peperiksaan dengan penuh ketenangan dan keyakinan serta diberkati dan diberi pertolongan daripada Allah s.w.t.Dalam satu hadith qudsi Allah berfirman yang bermaksud:

"Aku ini berada pada sangkaan hamba-Ku pada-Ku"

Kalau baik sangkaan kita pada Allah, maka baiklah Allah pada kita.Andai kata kita tidak yakin maka itulah yang kita akan peroleh.Adab kita berdoa hendaklah penuh dengan pengharapan dan keyakinan.

Sekian, semoga perkongsian ini dapat meredakan ketegangan minda dan emosi kita semua. Wallahualam...

IKTIBAR UNTUK KITA SEMUA...

Waktu gempa bumi di Padang menyamai 3 nas al-Quran


Kejadian suatu kebetulan yang perlu kita renungkan, insaflah kita umat ingkar suruhan Ilahi bahawa segala kejadian di muka bumi ini adalah ketetapan Allah SWT. Begitu juga dengan musibah gempa yang berlaku di Padang, Sumatera. Kebetulan juga waktu terjadi musibah itu dengan kaitan surah dan ayat yang ada hubungannya dalam kitab suci Al-Quran Al Karim.

Cuba perhatikan gempa di Padang pada jam 17.16 petang, kemudian susulan gempa pada jam 17.58 petang dan esoknya terjadi gempa di Jambi pada jam 08.52 (waktu antarabangsa). Jam 17.16 (iaitu surah ke-17, al-Israk, ayat 16) bermaksud:
"Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah), tetapi mereka melakukan kederhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya."

Jam 17.58 (surah ke-17, al-Israk, ayat 58) bermaksud:
"Tidak ada suatu negeri pun (yang derhaka penduduknya), melainkan Kami membinasakannya sebelum kiamat atau Kami azab (penduduknya) dengan azab yang sangat keras. Yang demikian itu sudah tertulis di dalam kitab (Luh Mahfuz)."

Jam 08.52 (surah ke-8, al-Anfal, ayat 52) bermaksud:
"(keadaan mereka) seperti Firaun dan pengikutnya serta orang sebelumnya. Mereka mengingkari ayat Allah, maka Allah menyeksa mereka disebabkan dosanya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Amat Keras seksaan-Nya."

Tiga ayat Allah SWT di atas, yang ditunjukkan tepat dalam waktu kejadian tiga gempa di Sumatera. Mengenai azab Allah kehancuran dan kematian serta kaitannya dengan hidup mewah dan derhaka. Dengan pelbagai kebetulan yang Allah SWT sampaikan ketika musibah itu, Allah jelas hendak mengingatkan kita.

Apakah ia sekadar kebetulan di sebalik rahsia kejadian tanpa mengandungi pengajaran? Apakah mesej Allah itu akan mengubah kita agar lebih berhati-hati dan taat perintah dan menjauhi larangan-Nya? Mungkinkah kita tidak peduli atau mentertawakan seperti kaum Musyrikin Quraisy mempersendakan risalah disampaikan kepada Rasulullah SAW?
Semua terpulang kepada kita. Manusia bukan makhluk tunggal di muka bumi ini. Manusia bersama makhluk lain yang juga memiliki hak sama untuk dapat hidup mengikut sunnatullah yang ditetapkan Allah SWT. Walaupun alam dengan isinya mungkin ditundukkan oleh manusia dengan ilmu pengetahuan, tidak bererti alam harus tunduk kepada manusia. Alam tetap patuh dan pasrah (Islam) kepada Allah.
Alam dengan segala isinya memiliki kehidupan sendiri. Harus disedari, kita dan alam memiliki hak yang sama untuk mengabdikan kepada Allah, tentu saja dengan cara sendiri. Sebenarnya sesama makhluk Allah, kita harus dapat harmonikan kehidupan dengan alam. Jika tidak, berlaku ketegangan, pertembungan dan saling menghancurkan.

Antara yang perlu kita perhatikan disebut Al-Quran tasbih bumi iaitu bumi juga makhluk Allah yang sentiasa bertasbih kepada Allah. Orang bertasbih menyucikan Allah daripada segala perbuatan yang tidak sewajarnya. Kata Subhanallah yang selalu kita lafazkan selepas solat bererti Maha Suci Allah dengan segala sifat dan perbuatan-Nya.

Ilmuwan Muslim, Zaghlul an-Najjar, dalam bukunya Shuarun min Tasbih al-Kainaat Lillah (Ketika Alam Bertasbih) menyatakan: Al-Quran menegaskan langit dan bumi dapat berbicara, menangis dan berasa sakit serta pedih.

Riwayat daripada Nabi SAW yang menjelaskan makna Surah al-Zalzalah, ayat 3, yang mengatakan: Pada hari itu bumi menceritakan. Baginda bertanya: "Tahukah kamu beritanya?" Mereka menjawab: "Allah dan Rasul-Nya lebih tahu." Baginda berkata: "Sesungguhnya berita ia (bumi) bersaksi atas hamba atau umat yang berada di atasnya. Ia (bumi) berkata, melakukan ini pada hari ini, begini dan begitu." (Riwayat at-Tirmizi).

Amat mengelirukan jika kita menganggap bumi sebagai benda mati yang tidak memberi reaksi terhadap apa yang dilakukan manusia di muka bumi ini. Jelas bahawa bumi tempat kita berpijak selalu bertasbih dan berdialog kepada Allah SWT. Bumi mensucikan Allah dan memuji-Nya dengan cara yang tidak kita ketahui. Apakah akan terjadi jika manusia yang hidup di muka bumi ini tidak bertasbih kepada Allah?
Betapa seksanya bumi menampung manusia kufur, berdosa, bermaksiat dan melupakan Allah. Bumi berasa berat dan menanggung beban yang tidak tertahan kerana dipijak manusia yang derhaka dan berdosa. Gempa adalah reaksi bumi. Kita memerlukan pendekatan teologi dan spritual. Gempa membuat manusia sedar bahawa selain manusia, langit dan bumi berserta apa yang ada di dalamnya juga makhluk Allah yang memiliki hukum dan kehidupannya sendiri. Bumi agak marah kepada manusia yang tidak pernah tersedar, kufur, dan ingkar kepada Allah.

Firman Allah bermaksud:
"Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan (yang dahsyat), dan bumi telah mengeluarkan beban (yang dikandungnya), dan manusia bertanya: Mengapa bumi (menjadi begini?)" (Surah al-Zalzalah : 1-3)

Maka kita sebagi umat Muhammad SAW yang ditinggalkan dengan syariat dan Al-Quran sebagai mukjizat, sunnah sebagai panduan dan seharusnya menjadi ikutan sewajarnya menginsafi diri kita atas segala perbuatan kita. Moga Allah membuka pintu keinsafan kepada kita seterusnya membuka lorong-lorong keimanan untuk kita semua.

MASALAH DISIPLIN DALAM KALANGAN PELAJAR; SALAH SIAPA?

SALAH SIAPA apabila pelajar kita gagal mengikut peraturan yang telah ditetapkan? Adakah kerana peraturan yang dibentuk oleh manusia itu terlalu lemah?

Pada minggu ini, saya fikir Unit Hal Ehwal Murid (HEM), Unit Disiplin dan Unit Bimbingan & Kaunseling adalah antara yang paling sibuk. Unit Kurikulum dan Peperiksaan juga sebenarnya tidak henti dengan pelbagai tugasan memandangkan pada waktu ini peperiksaan akhir tahun sedang dijalankan.

Semalam (Khamis, 5 November 2009) terdapat sepasang suami isteri datang ke bilik kaunseling untuk membincangkan tentang anaknya. Mmm...risau juga sebenarnya menghadapi kehadiran ibu bapa atas dasar sebegini. Adakalanya ibu bapa agak emosional dalam menghadapikaernah anak-anak. Namun, alhamdulillah perbincangan berlangsung dengan baik dan telahpun diuruskan. Rasanya tidak perlu saya membincangkan apakah yang berlaku kepada pelajar tersebut di sini.

Sebenarnya bermula 14 Oktober lalu hinggalah 20 November nanti, Unit Bimbingan dan Kaunseling (UBK) sedang menjalankan Program Selepas PMR. Hal ini bermakna, kami berdua sangat sibuk tetapi mujur juga kerjasama guru-guru lain banyak meringankan beban kami. Justeru, apabila berlaku kes disiplin dalam kalangan pelajar pada waktu ini, aduh...tak menang tangan dibuatnya walaupun kami bukanlah pengurus unit disiplin secara langsung. Tetapi, walau apapun kami tetap bertanggungjawab dalam hal ini.

Melihat kepada senario yang berlaku kepada pelajar-pelajar di sekolah ini, kenyataan orang bahawa pelajar SMKABP pelajar pandai dan terpilih ditambah dengan pembelajaran agama menjadikan mereka pelajar yang pintar dan baik, sebenarnya kurang tepat. Saya masih ingat lagi kata-kata yang diberikan kepada saya apabila saya dihantar bertugas di sekolah ini dulu. "Takpe, pelajar SMKA tak banyak masalah. Pelajar pandai-pandai..."

Tapi realitinya? Saya fikir, hanya mereka yang pernah bertugas di sekolah ini saja yang benar-benar faham bagaimana karenah anak didik kita di sini. Bukan merungut sebaliknya saya sangat bersyukur kerana memang tidak dinafikan beban masalah pelajar di sini tidaklah serancak kes disiplin di sekolah harian biasa. Namun, cabarannya tetap ada...

Di sekolah ini, amalan keagamaan sememangnya diterapkan dengan sistematik. Bermula dengan solat berjemaah, amalan-amalan sunat dan pembudayaan amalan penghayatan Al-Quran juga sangat hebat! Tetapi, mengapa masih terdapat pelajar yang bermasalah disiplin? Kalau hendak mengambil kira tugas guru, warden, barisan pentadbir dan semua pihak, rasanya sudah lebih daripada mencukupi. PIBG juga memberikan sokongan yang cukup baik. Masalah sumber kewangan untuk menjalankan aktiviti bukanlah masalah utama. Kadang-kadang terfikir juga, apa lagi agaknya yang pelajar-pelajar ini mahu?

Mungkin inilah cabaran mendidik generasi sekarang untuk menentukan pembangunan manusia sebagai generasi akan datang. Bukan mudah tetapi sebenarnya boleh dilakukan. Tanggungjawab yang berat tetapi sebenarnya masih boleh dipikul.

Pada waktu ini, saya dan rakan-rakan guru yang lain sebenarnya masih mengharapkan kesedaran dalaman daripada pelajar-pelajar. Bangunlah anak didikku, bangkitlah daripada mimpi-mimpimu...masa depanmu menanti untuk dipimpin dan dikejar. Usah lagi bermimpi di siang hari, takut nanti kita tidak lagi berpijak di bumi nyata...

Harapan akan terus menjadi harapan... Moga ALLAH SWT mempermudahkan jalan untuk kita semua...

AL-FALAH DINNER NITE

Pada malam ini bertempat di Desaru Golden Hotel, semua warga Kelab Al-Falah yang terdiri daripada barisan pentadbir, guru-guru dan staf SMKABP akan mengadakan Majlis Makan Malam 2009. Semoga majlis akan meriah dan mengeratkan silaturrahim semua yang terlibat, insyaALLAH...

BERCINTA vs BELAJAR ; YANG MANA PERLU DIDAHULUKAN?


Gambar ini merupakan salah satu dariada 'resipi percintaan' pelajar SMKABP. Ianya diperbuat daripada polisterina yang diberikan kepada pelajar untuk membuat kerja-kerja mencantikkan makmal sekolah. Malangnya, amanah yang diberikan disalah guna hingga terhasil 'tanda cinta' sedemikian. Oleh itu, apakah pandangan anda?

Adakah betul atau sebaliknya tindakan seseorang pelajar mempunyai hubungan perasaan lebih daripada kawan terhadap rakan berlainan jantinanya yang lain misalnya lelaki dengan perempuan, perempuan dengan lelaki. Apa yang saya paparkan hanyalah bukti kecil yang saya peroleh. Hakikatnya, di bilik saya terdapat pelbagai lagi surat dan kad cinta pelajar tidak kiralah pelajar tingkatan 5, 4, 3, 2 mahupun seawal tingkatan 1 sudah mula pandai bercinta. Bahasa yang berbunga, panggilan ayg, syg, abg, bie, kanda, dinda dan entah apa lagi yang adakalanya membuat saya tergelak, mual, loya, sedih dan risau.

Saya fikir, guru-guru di sekolah lain juga berhadapan dengan situasi yang sama. Cuma mungkin bezanya ialah gaya percintaan anak didik kita ini. Persoalannya, apakah faedah bercinta kepada pelajar? Bukankah fokus utama yang patut diberikan pada waktu ini adalah terhadap pelajaran?

Sebenarnya dalam banyak hal saya cuba bersikap fleksibel dan menerima keadaan pelajar seadanya mereka. Pandangan saya ialah tidak salah bercinta asalkan tidak mengabaikan pelajaran. Namun malangnya, hakikat yang berlaku apabila seseorang pelajar itu bercinta, maka perkara berikut akan berlaku :
1. Prestasi pelajaran merosot akibat hilang tumpuan belajar
2. Cenderung melakukan kesalahan disiplin terutama bagi pasangan satu sekolah kerana selalu berjumpa berduaan
3. Kekerapan berbohong meningkat dengan mendadak kerana hendak menyembunyikan kesalahan
4. Sering berkhayal hingga mengakibatkan banyak tugasan tidak dilakukan dengan sempurna atau selalunya yang lebih teruk, tidak buat langsung!
5. Masalah disiplin bertambah seperti membawa telefon bimbit, ponteng kelas, bercumbuan...banyak lagi la...

So, apakah sebenarnya yang sewajarnya kita lakukan? Parents nowadays pun blh tahan... cakap anak2 lebih betul & laku daripada cakap kita. Ntahla...

SEKITAR PROGRAM SELEPAS PMR






Program Selepas PMR telah sedang dan akan berlangsung bermula pada 14 Oktober lalu hingga 20 November nanti. Berikut merupakan sebahagian rakaman peristiwa yang telah berlaku sepanjang program dijalankan.