Perancangan tahunan ramai pihak terutama pelajar dan warga universiti tempatan akan terbabit secara langsung bermula tahun ini apabila Kementerian Pengajian Tinggi membuat penyelarasan kalendar akademik institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Penyelarasan kalendar akademik IPTA ini akan dilakukan secara berperingkat bermula sesi akademik 2011/2012 dan dijangka beralih sepenuhnya pada sesi akademik 2013/2014.

Tujuan Penyelarasan Sesi Akademik

Di antara rasional anjakan kalendar akademik ini adalah bagi memenuhi konsep perkongsian ilmu dengan masyarakat antarabangsa bagi membolehkan program mobiliti akademik dilaksanakan secara lebih efektif.
Dalam proses pengantarabangsaan pengajian tinggi Malaysia, pelajar universiti tempatan perlu didedahkan kepada senario pengajian tinggi antarabangsa melalui pendedahan budaya serta amalan luar.
Sebagai contoh pendedahan melalui Program Mobiliti Malaysia-Indonesia-Thailand adalah peluang terbaik untuk mendedahkan pelajar-pelajar kita kepada amalan luar. Namun peluang ini tidak dapat dimanfaatkan oleh pelajar tempatan disebabkan ketidaksamaan jadual dengan universiti di kedua-dua negara itu yang memulakan kalendar sesi akademik pada bulan September setiap tahun, menyamai amalan negara-negara maju."