SALAH SIAPA apabila pelajar kita gagal mengikut peraturan yang telah ditetapkan? Adakah kerana peraturan yang dibentuk oleh manusia itu terlalu lemah?

Pada minggu ini, saya fikir Unit Hal Ehwal Murid (HEM), Unit Disiplin dan Unit Bimbingan & Kaunseling adalah antara yang paling sibuk. Unit Kurikulum dan Peperiksaan juga sebenarnya tidak henti dengan pelbagai tugasan memandangkan pada waktu ini peperiksaan akhir tahun sedang dijalankan.

Semalam (Khamis, 5 November 2009) terdapat sepasang suami isteri datang ke bilik kaunseling untuk membincangkan tentang anaknya. Mmm...risau juga sebenarnya menghadapi kehadiran ibu bapa atas dasar sebegini. Adakalanya ibu bapa agak emosional dalam menghadapikaernah anak-anak. Namun, alhamdulillah perbincangan berlangsung dengan baik dan telahpun diuruskan. Rasanya tidak perlu saya membincangkan apakah yang berlaku kepada pelajar tersebut di sini.

Sebenarnya bermula 14 Oktober lalu hinggalah 20 November nanti, Unit Bimbingan dan Kaunseling (UBK) sedang menjalankan Program Selepas PMR. Hal ini bermakna, kami berdua sangat sibuk tetapi mujur juga kerjasama guru-guru lain banyak meringankan beban kami. Justeru, apabila berlaku kes disiplin dalam kalangan pelajar pada waktu ini, aduh...tak menang tangan dibuatnya walaupun kami bukanlah pengurus unit disiplin secara langsung. Tetapi, walau apapun kami tetap bertanggungjawab dalam hal ini.

Melihat kepada senario yang berlaku kepada pelajar-pelajar di sekolah ini, kenyataan orang bahawa pelajar SMKABP pelajar pandai dan terpilih ditambah dengan pembelajaran agama menjadikan mereka pelajar yang pintar dan baik, sebenarnya kurang tepat. Saya masih ingat lagi kata-kata yang diberikan kepada saya apabila saya dihantar bertugas di sekolah ini dulu. "Takpe, pelajar SMKA tak banyak masalah. Pelajar pandai-pandai..."

Tapi realitinya? Saya fikir, hanya mereka yang pernah bertugas di sekolah ini saja yang benar-benar faham bagaimana karenah anak didik kita di sini. Bukan merungut sebaliknya saya sangat bersyukur kerana memang tidak dinafikan beban masalah pelajar di sini tidaklah serancak kes disiplin di sekolah harian biasa. Namun, cabarannya tetap ada...

Di sekolah ini, amalan keagamaan sememangnya diterapkan dengan sistematik. Bermula dengan solat berjemaah, amalan-amalan sunat dan pembudayaan amalan penghayatan Al-Quran juga sangat hebat! Tetapi, mengapa masih terdapat pelajar yang bermasalah disiplin? Kalau hendak mengambil kira tugas guru, warden, barisan pentadbir dan semua pihak, rasanya sudah lebih daripada mencukupi. PIBG juga memberikan sokongan yang cukup baik. Masalah sumber kewangan untuk menjalankan aktiviti bukanlah masalah utama. Kadang-kadang terfikir juga, apa lagi agaknya yang pelajar-pelajar ini mahu?

Mungkin inilah cabaran mendidik generasi sekarang untuk menentukan pembangunan manusia sebagai generasi akan datang. Bukan mudah tetapi sebenarnya boleh dilakukan. Tanggungjawab yang berat tetapi sebenarnya masih boleh dipikul.

Pada waktu ini, saya dan rakan-rakan guru yang lain sebenarnya masih mengharapkan kesedaran dalaman daripada pelajar-pelajar. Bangunlah anak didikku, bangkitlah daripada mimpi-mimpimu...masa depanmu menanti untuk dipimpin dan dikejar. Usah lagi bermimpi di siang hari, takut nanti kita tidak lagi berpijak di bumi nyata...

Harapan akan terus menjadi harapan... Moga ALLAH SWT mempermudahkan jalan untuk kita semua...